PUBLIC INFOBANJIR
Sistem pangkalan data berpusat Infobanjir telah dibangunkan pada lewat tahun 1999 dan mula beroperasi pada awal tahun 2000. Sistem Infobanjir ini berfungsi dengan menghimpunkan maklumat hujan dan aras air secara real-time daripada hampir 200 stesen hidrologi di seluruh negara. Data hidrologi daripada setiap stesen cerapan di hantar ke Pangkalan Data Telemetri di setiap negeri dan seterusnya dihantar ke Infobanjir. Pada peringkat permulaan, sistem infobanjir beroperasi secara dalaman iaitu maklumat hujan dan aras air akan dipantau oleh pegawai-pegawai JPS sahaja.
Pada tahun 2001, laman sesawang Infobanjir telah dibangunkan di mana maklumat hujan dan aras air akan dipapar secara terus ke laman sesawang bagi memudahkan orang ramai dan agensi – agensi bertanggungjawab mendapatkan maklumat situasi hujan dan aras air secara terus. Laman sesawang Infobanjir ini telah dimulakan dengan paparan data hujan dan aras air yang direkod terus daripada 120 stesen hujan dan 140 stesen aras air yang dibina di seluruh negara. Selain daripada itu, maklumat semasa kawasan banjir juga dipaparkan bersama dengan kawasan-kawasan jalan raya yang dibanjiri.
Pada tahun 2002, bilangan stesen hidrologi yang dimasukkan ke dalam sistem infobanjir telah ditambah kepada hampir 300 stesen. JPS juga telah menambahbaik paparan laman sesawang Infobanjir supaya ianya lebih mudah difahami dan dilayari oleh orang ramai.
Pada tahun 2005, laman sesawang Infobanjir ditambah baik dengan meningkatkan kemampuan pangkalan data dan sistem pemprosesan supaya ianya dapat beroperasi dengan lebih baik di samping menghubungkan kepada sistem – sistem baru yang lain. Jumlah stesen hidrologi telah dtambah kepada hampir 400 stesen serta memasukkan stesen di Wilayah Persekutuan Labuan. Sistem Infobanjir juga memaparkan maklumat ramalan banjir dan maklumat risiko tanah runtuh di beberapa lokasi terpilih. Terdapat juga beberapa lokasi di sepanjang sungai yang dipasang on-line web camera untuk memudahkan pemantauan situasi sebenar di kawasan tersebut.
Pada lewat tahun 2011, sistem Infobanjir telah dipertingkatkan lagi dengan membangunkan sistem publicinfobanjir di mana laman sesawang publicinfobanjir memberi fokus kepada hebahan maklumat amaran banjir kepada orang ramai dengan mengurangkan maklumat-maklumat teknikal serta memasukkan medium hebahan terkini seperti facebook, twitter dan RSS. Maklumat penting seperti tempat pemindahan, status banjir dan maklumat amaran hujan dan aras air sungai dipaparkan secara interaktif. Bilangan stesen cerapan juga ditambah kepada hampir 500 stesen hujan dan aras air. Sistem Infobanjir sediada dikekalkan bagi tujuan rujukan maklumat teknikal di mana agensi bencana banjir, universiti dan perunding kebiasaannya menggunakannya.
Ekoran daripada kejadian banjir besar yang berlaku di negara pada tahun 2013 di Kuantan dan Kemaman, JPS sekali lagi menambahbaik sistem infobanjir dengan menggabungkan maklumat di dalam sistem Infobanjir dan publicinfobanjir sediada kepada sistem Infobanjir yang baru. Sistem Infobanjir ini telah ditambahbaik kepada komponen paparan yang lebih fokus, ringkas, mudah difahami dan bermaklumat. Sistem pangkalan data juga telah ditambahbaik dengan mengaplikasikan teknologi terkini yang berkemampuan menerima dan memproses data secara real time dalam tempoh yang singkat. Data – data tersebut juga diguna bersama dengan agensi -agensi lain seperi Agensi Pengurusan Bencana Negara, Lembaga Urus Air Selangor dan lain-lain.
Pada tahun 2014 bencana banjir ekstrem telah berlaku di beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Kedah, Perlis, Johor, Sabah dan Sarawak. Kejadian banjir di tiga negeri pantai timur Semenanjung Malaysia telah mengorbankan 25 nyawa dan dianggarkan sebanyak RM 2.85 bilion nilai kerugian. Berikutan itu, JPS telah meningkatkan sistem ramalan dan amaran banjir di seluruh negara melalui Program Ramalan dan Amaran Banjir yang akan dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun (2015-2025). Dengan penambahbaikan ini, JPS telah meningkatkan sistem hebahan maklumat banjir di mana laman sesawang Public Infobanjir telah ditambahbaik dengan memasukkan dua elemen baru iaitu paparan yang informatif dan maklumat ramalan dan amaran banjir lebih awal. Maklumat ramalan banjir 2 hari sebelum berlaku banjir di lokasi terpilih dipaparkan dengan lebih interaktif, gabungan peta lokasi dan senarai kawasan yang dijangka akan banjir.
Selain daripada itu, paparan maklumat amaran hujan dan aras air semasa dengan lebih mudah difahami di samping maklumat analisis yang informatif bagi kegunaan pelbagai pihak samada orang awam, universiti atau agensi berkaitan bencana banjir. Kesahihan maklumat banjir juga disokong dengan paparan imej sebenar keadaan sungai secara real time.
Dengan wujudnya sistem Public Infobanjir yang telah beroperasi lebih daripada 20 tahun, ianya telah banyak membantu masyarakat terutamanya mangsa banjir dan agensi penyelamat untuk bertindak awal bagi menghadapi bencana banjir. Jabatan Pengairan dan Saliran sentiasa berusaha untuk menambahbaik sistem hebahan maklumat banjir seiring dengan perkembangan teknologi maklumat ke arah sistem hebahan maklumat yang lebih cepat dan meluas.
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara
(PRABN)
Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi
Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia